Friday, 8 August 2008

UNDANG-UNDANG BAGI PERTUBUHAN


PERSATUAN PENDUDUK DELIMA HEIGHTS,
PANGSAPURI 5 BLOK 5 TINGKAT,
BUKIT GEDUNG,
11950 BAYAN BARU, PULAU PINANG
…………………………………………………………………………………………….



KANDUNGAN

FASAL 1 .. NAMA

FASAL 2 .. TEMPAT URUSAN

FASAL 3 .. BENDERA, LAMBANG DAN LENCANA

FASAL 4 .. TUJUAN / MATLAMAT

FASAL 5 .. KEAHLIAN

FASAL 6 .. BAYARAN MASUK, YURAN DAN BAYARAN LAIN

FASAL 7 .. PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI

FASAL 8 .. MESYUARAT AGUNG

FASAL 9 .. JAWATANKUASA

FASAL 10 .. KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEGAWAI

FASAL 11 .. KEWANGAN

FASAL 12 .. PEMERIKSAAN KIRA-KIRA

FASAL 13 .. PENGAMANAH

FASAL 14 .. TAFSIRAN UNDANG-UNDANG

FASAL 15 .. PENASIHAT / PENAUNG

FASAL 16 .. LARANGAN

FASAL 17 .. PINDAAN UNDANG-UNDANG

FASAL 18 .. PEMBUBARAN



UNDANG-UNDANG BAGI
PERSATUAN PENDUDUK DELIMA HEIGHT,
PANGSAPURI 5 BLOK 5 TINGKAT,
BUKIT GEDUNG,
11950 BAYAN BARU, PULAU PINANG
………………………………………………………………………………………….

FASAL 1 NAMA

(1) Pertubuhan ini dikenali dengan nama Persatuan Penduduk Delima Heights, Pangsapuri 5 Blok 5 Tingkat, Bukit Gedung, Bayan Baru, Pulau Pinang.

Selepas ini disebut “Persatuan”.

FASAL 2 TEMPAT URUSAN

(2) Alamat dan tempat urusan mesyuarat persatuan ialah No. 3-5-4, Delima Heights, Persiaran Mayang Pasir 8, 11950 Bayan Baru, Pulau Pinang atau di tempat lain atau tempat-tempat yang akan ditetapkan dari semasa ke semasa oleh Jawatankuasa; dan alamat untuk surat menyurat No. 3-5-4, Delima Heights, Persiaran Mayang Pasir 8, 11950 Bayan Baru, Pulau Pinang.

Tempat urusan berdaftar dan alamat surat menyurat Persatuan tidak boleh diubah tanpa kebenaran Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.

FASAL 3 BENDERA, LAMBANG DAN LENCANA

Buat masa ini, belum ada bendera, lambang atau lencana yang digunakan oleh Persatuan ini.

FASAL 4 TUJUAN / MATLAMAT

Persatuan ini ditubuhkan bagi mewakili penduduk Delima Heights Blok 1, 3, 5, 7 dan 9 dalam perkara seperti berikut:-

a) memupuk silaturrahim dan semangat kejiranan.

b) mengenalpasti masalah yang timbul dan mengemukakan kepada pihak-pihak yang berkenaan.

c) menjayakan aktiviti riadah dan kemasyarakatan

d) mencegah dan membenteras aktiviti sosial yang tidak bermoral dikawasan pangsapuri.

e) memupuk semangat kerohanian bagi membentuk nilai murni.

f) menguruskan kemudahan-kemudahan tertentu untuk kepentingan penduduk.

g) memupuk kerjasama dengan persatuan-persatuan yang berdaftar dan kariah berdekatan.

h) sebagai tempat rujukan & kebenaran untuk tujuan penyewaan, perniagaan, pengiklanan, majlis keraian dan sebagainya.


FASAL 5 KEAHLIAN

(1) Keahlian adalah dihadkan hanya kepada semua penduduk warga tempatan yang menetap di Delima Heights Blok 1, 3, 5, 7 dan 9 sahaja.

(2) Tiap-tiap permohonan menjadi ahli hendaklah dihantar kepada Setiausaha yang dikehendaki mengemukakan permohonan ini dengan secepat mungkin kepada Jawatankuasa untuk diluluskan. Jawatankuasa boleh mengikut budibicaranya menolak sebarang permohonan tanpa memberi sebab-sebabnya.

(3) Tiap-tiap pemohon yang permohonannya telah diluluskan seperti yang tersebut di atas, hendaklah setelah membayar yuran masuk dan yuran tahunan seperti yang ditetapkan diterima menjadi ahli Persatuan dan berhaklah ia sebagai ahli.

(4) Seorang pelajar Universiti atau Kolej-Universiti tidak boleh diterima menjadi ahli Pertubuhan ini kecuali ia telah dibenarkan terlebih dahulu secara bertulis oleh Naib Canselor Universiti yang berkenaan.


FASAL 6 YURAN MASUK, YURAN DAN BAYARAN LAIN

(1) Bayaran masuk dan yuran yang perlu oleh setiap unit kepada Bendahari adalah seperti berikut:

a) Bayaran masuk RM 15.00 (Lima Belas Ringgit Sahaja) (Sekali Sahaja).

b) Yuran Tahunan RM 12.00 (Dua Belas Ringgit Sahaja)

(2) Yuran khas atau sumbangan wang daripada ahli-ahli untuk perkara tertentu boleh dipungut dengan persetujuan mesyuarat ahli-ahli jawatankuasa.


FASAL 7 PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI

(1) Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli Persatuan hendaklah memberi kenyataan bertulis dua minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha dan menjelaskan segala hutangnya.

(2) Mana-mana ahli yang gagal mematuhi undang-undang Persatuan atau bertindak dengan cara yang akan mencemarkan nama baik persatuan boleh dipecat atau digantung keahliannya bagi suatu tempoh sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa. Sebelum Jawatankuasa memecat atau menggantung ahli tersebut, ahli itu hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pemecatan atau penggantungannya secara bertulis. Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang untuk memberi penjelasan dan membela dirinya. Pemecatan atau penggantungan itu hendaklah dilaksanakan melainkan mesyuarat ahli jawatankuasa menunda atau membatalkan keputusan itu atas rayuan oleh ahli tersebut.

FASAL 8 MESYUARAT AGUNG

(1) Pengelolaan Persatuan ini terserah kepada mesyuarat agung ahli-ahli. Sekurang-kurangnya satu perdua (1/2) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi atau dua kali ganda jumlah ahli Jawatankuasa, mengikut mana yang kurang, hendaklah hadir di dalam mesyuarat agung bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi korum untuk mesyuarat.


(2) Jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih daripada 30 hari) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa; dan jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa meminda undang-undang
Persatuan dan membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua ahli.

(3) Mesyuarat Agung Dwi Tahunan bagi Persatuan hendaklah diadakan dengan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan tetapi tidak lewat daripada 01 haribulan Jan pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa. Kerja-kerja mesyuarat agung dwi tahunan ialah:

(a) menerima laporan Jawatankuasa berkenaan perjalanan di dalam tahun lalu;

(b) menerima laporan Bendahari dan penyata kewangan yang telah diaudit bagi tahun lalu;

(c) memilih ahli-ahli Jawatankuasa dan pemeriksa kira-kira untuk tahun yang akan datang; dan

(d) menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan di dalam mesyuarat itu.

(4) Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli sekurang-kurangnya 14 hari sebelum Mesyuarat Agung Dwi Tahunan diadakan satu agenda mesyuarat termasuk salinan peringatan mesyuarat dan laporan serta penyata kira-kira Persatuan bagi tahun lalu yang telah diaudit. Salinan surat-surat ini juga hendaklah dibekalkan untuk dibaca oleh ahli-ahli di alamat tempat urusan Persatuan.

(5) Mesyuarat Agung Khas bagi persatuan ini boleh diadakan:

(a) bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa, atau

(b) atas permintaan beramai-ramai dengan bertulis oleh tidak kurang dari satu perlima (1/5) dari jumlah ahli yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan dan sebab mengadakannya . Permintaan itu hendaklah dihantar kepada Setiausaha Persatuan.

(6) Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh satu bulan dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu.

(7) Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah diedarkan oleh Setiausaha kepada semua ahli sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk bermesyuarat.

(8) Fasal 8 (1) dan 8 (2) di dalam undang-undang ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan boleh digunakan untuk Mesyuarat Agung Khas tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli itu maka mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan dalam masa 6 bulan dari tarikh ini, Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan.

(9) Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli satu salinan draf peringatan tiap-tiap Mesyuarat Agung Dwi Tahunan dan Mesyuarat Agung Khas dengan seberapa segera yang boleh setelah selesainya mesyuarat itu.


FASAL 9 JAWATANKUASA

(1) Satu Jawatankuasa seperti berikut yang dinamakan Ahli Jawatankuasa hendaklah dipilih didalam Mesyuarat Agung Dwi Tahunan:

Seorang Pengerusi

Seorang Naib Pengerusi

Seorang Setiausaha

Seorang Penolong Setiausaha

Seorang Bendahari

Seorang Naib Bendahari

Sebelas orang Ahli Jawatankuasa


(2) Pemegang-pemegang jawatan Persatuan ini dan tiap-tiap Ahli Jawatankuasa yang menjalankan tugas eksekutif dalam Persatuan ini hendaklah terdiri dari Warganegara Malaysia.

(3) Nama-nama untuk jawatan-jawatan di atas hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihan akan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam Mesyuarat Agung Dwi Tahunan. Semua Ahli Jawatankuasa boleh dilantik semula tiap-tiap tahun.

(4) Fungsi Jawatankuasa ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian Persatuan dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Persatuan mengikut dasar am yang telah ditetapkan oleh mesyuarat agung. Jawatankuasa seharusnya tidaklah boleh mengambil tindakan yang bertentangan dengan keputusan mesyuarat agung dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Jawatankuasa mestilah sentiasa mematuhi keputusan mesyuarat agung. Jawatankuasa hendaklah mengemukakan laporan berkenaan kegiatannya dalam tahun lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Agung Dwi Tahunan.

(5) Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam 3 bulan. Pengumuman bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli-ahli 7 hari terlebih dahulu. Pengerusi dengan bersendirian atau tidak kurang daripada 4 orang ahli Jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat Jawatankuasa pada bili-bila masa. Sekurang-kurangnya setengah (1/2) daripada bilangan ahli Jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat.

(6) Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa dan mesyuarat Jawatankuasa tidak dapat diadakan, maka Setiausaha bolehlah mendapatkan kelulusan dari ahli-ahli jawatankuasa secara pengedaran surat pekeliling. Syarat-syarat mengenainya seperti berikut mestilah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa boleh dianggap sebagai telah diterima:

a. Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada tiap-tiap ahli Jawatankuasa.
b. Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli Jawatankuasa mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap cadangan itu;dan.


c. Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak.

Sebarang keputusan yang didapati melalui surat pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha kepada mesyuarat Jawatankuasa berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan di dalam peringatan mesyuarat.

(7) Ahli Jawatankuasa yang mungkir menghadiri mesyuarat Jawatankuasa tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan di dalam Jawatankuasa.

(8) Jika seorang ahli Jawatankuasa meningggal dunia atau meletakkan jawatan, calon yang kedua mendapat undi terbanyak di dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil utuk memenuhkan kekosongan itu. Jika calon yang sedemikian tidak ada atau menolak jawatan itu, maka berkuasalah Jawatankuasa melantik ahli yang lain memenuhkan kekosongan itu sehingga Mesyuarat Agung Dwi Tahunan diadakan.

(9) Jawatankuasa boleh memberi arahan kepada Setiausaha dan Ahli-ahli Jawatankuasa lain untuk menjalankan urusan Persatuan, dan melantik pengurusan dan kakitangan yang difikirkannya mustahak. Ia boleh menggantungkan atau melucutkan jawatan sebarang pengurus atau kakitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, curang, tidak cekap, engkar menjalankan keputusan Jawatankuasa, atau kerana sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan Persatuan.

(10) Jawatankuasa boleh menubuhkan Jawatankuasa kecil jika difikirkan mustahak dan memberikan kewajipan khas kepada sebarang ahli Jawatankuasa.

FASAL 10 KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEGAWAI

(1) Pengerusi, dalam tempoh menyandang jawatannya, hendaklah menjadi Pengerusi semua mesyuarat Jawatankuasa dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia menandatangani peringatan mesyuarat bila telah diluluskan. Ia hendaklah menandatangani semua cek Persatuan bersama-sama dengan Setiausaha dan Bendahari.

(2) Naib Pengerusi hendaklah memangku jawatan Pengerusi semasa ketiadaannya.

(3) Setiausaha hendaklah menjalankan kerja pentadbiran Persatuan mengikut undang-undang dan hendaklah ia menjalankan perintah mesyuarat agung dan Jawatankuasa. Ia bertanggungjawab mengendalikan urusan surat menyurat dan menyimpan semua buku, surat dan kertas kecuali akaun dan buku-buku kewangan. Setiausaha hendaklah menyimpan buku daftar ahli yang mengandungi butir-butir seperti nama, tempat dan tarikh lahir, nombor kad pengenalan, pekerjaan, nama dan alamat majikan dan alamat rumah tiap-tiap ahli. Ia hendaklah hadir di dalam mesyuarat dan membuat catatan mesyuarat. Ia hendaklah menandatangani semua cek Persatuan bersama-sama dengan Pengerusi dan Bendahari. Setiausaha hendaklah dalam masa 60 hari dari tarikh Mesyuarat Agung Dwi Tahunan diadakan mengirimkan penyata tahunan Pertubuhan kepada Pendaftar Pertubuhan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 14 (1) Akta Pertubuhan, 1996.

(4) Penolong Setiausaha hendaklah menolong Setiausaha menjalankan kerja-kerja dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Setiausaha.

(5) Bendahari adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan Persatuan. Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua perkara kewangan dan bertanggungjawab di atas ketepatannya. Ia hendaklah menandatangani semua cek Persatuan bersama-sama dengan Pengerusia dan Setiausaha.

(6) Ahli –ahli Jawatankuasa hendaklah membantu Jawatankuasa dalam menjalankan tugas yang diarahkan olehnya.


FASAL 11 KEWANGAN

(1) Tertakhluk kepada peruntukan-peruntukan berikut dalam undang-undang ini wang Persatuan ini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan Persatuan, termasuklah belanja pentadbiran, dan perbelanjaan Ahli Jawatankuasa dan kakitangan yang bergaji serta upah memeriksa kira-kira. Walau bagaimanapun, wang itu tidaklah boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah.

(2) Bendahari dibenarkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada RM 100.00 (Ringgit : Seratus sahaja) pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan ke dalam bank yang diluluskan oleh Jawatankuasa. Kira-kira bank itu hendaklah di atas nama Persatuan.

(3) Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang dari kira-kira Persatuan hendaklah ditandatangani bersama oleh Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari. Semasa ketiadaan Pengerusi, Setiausaha atau Bendahari maka bolehlah Jawatankuasa melantik sesiapa di antara mereka sebagai pengganti untuk menandatangani cek atau kenyataan pengeluaran wang Persatuan.

(4) Perbelanjaan yang lebih daripada RM 100.00 (Ringgit: Seratus sahaja) bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa, dan perbelanjaan yang lebih daripada RM 100.00 (Ringgit: Seratus sahaja) bagi sesuatu masa tidak boleh dilakukan tanpa mendapat kebenaran mesyuarat Jawatankuasa terlebih dahulu. Perbelanjaan yang kurang daripada RM 100.00 (Ringgit: Seratus sahaja)) bagi sesuatu masa boleh diluluskan oleh Pengerusi bersama Setiausaha dan Bendahari.

(5) Penyata darihal wang yang diterima dan dibelanjakan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diperiksa oleh Pemeriksa Kira-kira yang dilantik di bawah Fasal 12 undang-undang ini dengan seberapa segera setelah tamatnya tahun kewangan. Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukan untuk diluluskan oleh Mesyuarat Agung Dwi Tahunan yang berikut dan salinannya hendaklah dibekalkan untuk makluman ahli di tempat urusan Persatuan.

(6) Tahun kewangan Persatuan ini bermula dari 1hb Januari dan berakhir pada 31hb Disember tiap-tiap tahun.

FASAL 12 PEMERIKSAAN KIRA-KIRA

(1) Dua orang yang bukannya Ahli Jawatankuasa boleh dilantik di dalam Mesyuarat Agung Dwi Tahunan sebagai pemeriksa Kira-kira. Mereka akan memegang jawatan selama dua tahun dan boleh dilantik semula.

(2) Pemeriksa Kira-kira adalah dikehendaki memeriksa kira-kira Persatuan bagi dua tahun dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Agung Dwi Tahunan. Mereka juga dikehendaki pada bili-bila masa oleh Pengerusi mengaudit kira-kira Persatuan bagi mana-mana masa di dalam tempoh perkhidmatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa.

FASAL 13 PEMEGANG AMANAH

(1) Tiga orang Pemegang Amanah yang berumur lebih daripada 21 tahun hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Agung dan mereka akan berkhidmat selama yang dikehendaki oleh Pertubuhan. Semua harta tetap kepunyaan Pertubuhan akan diamanahkan kepada mereka dengan menandatangani suatu Surat Amanah (Deed of Trust).


(2) Pemegang Amanah tidak boleh menjual, menarik balik atau memindahkan hakmilik harta kepunyaan Pertubuhan dengan tidak mendapat kelulusan dan kuasa yang diberikan oleh mesyuarat agung Pertubuhan.

(3) Seseorang Pemegang Amanah itu boleh dilucutkan daripada jawatanya oleh mesyuarat agung oleh sebab uzur kerana penyakit, tidak siuman, tidak berada didalam negeri atau kerana sebab lain yang mengakibatkan ia tidak menjalankan tugasnya atau pekerjaannya dengan memuaskan, Jika berlaku kematian, perletakkan jawatan atau pemecatan bagi seseorang Pemegang Amanah maka kekosongan itu bolehlah dipenuhkan oleh Pemegang Amanah yang baru yang dilantik di dalam mesyuarat agung.


FASAL 14 TAFSIRAN UNDANG-UNDANG

(1) Di antara berlangsungnya mesyuarat agung, Jawatankuasa boleh memberikan tafsirannya kepada undang-undang ini dan Jawatankuasa, jika mustahak, boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam undang-undang ini.

(2) Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam mesyuarat agung, keputusan Jawatankuasa terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan mesyuarat agung.


FASAL 15 PENASIHAT/PENAUNG

Jawatankuasa boleh, jika difikirkan perlu, melantik orang-orang yang layak menjadi Penasihat/Penaung bagi Persatuan ini dengan syarat orang yang dilantik itu menyatakan persetujuannya secara bertulis.


FASAL 16 LARANGAN

(1) Permainan yang disebutkan di bawah ini tidak boleh dimainkan di dalam kawasan Persatuan: Roulette, Lotto, Fan Tan, Poh, Peh Bin, Belangkai, Pai Kau, Tau Ngau, Tien Kow, Chap Ji Kee, Sam Cheong, Dua Puluh Satu, Tiga Puluh Satu, Sepuluh dan Setengah, semua permainan dadu, banker’s game dan semua permainan yang bergantung semata-mata kepada nasib;

(2) Persatuan atau ahli-ahlinya tidak harus cuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan kesatuan sekerja seperti definasi di dalam Akta Kesatuan Sekerja, 1959;

(3) Persatuan ini tidak boleh menjalankan loteri sama ada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak, atas nama Persatuan atau Ahli Jawatankuasa atau Jawatankuasa atau ahli, tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa berkenaan;

(4) “Faedah” seperti yang diterangkan di bawah Seksyan 2 Akta Pertubuhan 1966, tidaklah boleh diberikan oleh Persatuan kepada mana-mana ahlinya.

(5) Kawasan letak kereta dan motosikal hanya dikhaskan kepada penduduk-penduduk Pangsapuri 5 Blok 5 Tingkat sahaja. Kenderaaan orang luar, lori, bas atau apa-apa jua kenderaan berat dilarang sama sekali meletak kenderaan didalam kawasan ini.

(6) Sebarang bentuk yang boleh membawa kepada kegiatan yang tidak bermoral seperti penagihan dadah, mabuk, maksiat, judi dan yang ada kait dengan gejala tidak bermoral adalah dilarang sama sekali di dalam kawasan ini

(7) Warga asing tidak dibenarkan mengajurkan apa-apa jua majlis keraian didalam unit kediaman atau di dalam kawasan persatuan.



FASAL 17 PINDAAN UNDANG-UNDANG

Undang-undang ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan mesyuarat agung. Permohonan untuk perubahan atau pindaan kepada undang-undang hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 60 hari dari tarikh keputusan mesyuarat agung meluluskan perubahan atau pindaaan itu dan hanya boleh dikuatkuasakan mulai daripada tarikh perubahan atau pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.


FASAL 18 PEMBUBARAN

(1) Persatuan ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima (3/5) daripada jumlah ahli yang menghadiri dalam suatu mesyuarat agung yang dipanggil khas kerananya.

(2) Sekiranya Persatuan hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan Persatuan yang sah mengikut undang-undang

hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam mesyuarat agung berkenaan.

(3) Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 14 hari dari tarikh pembubaran itu.




………………………………………….. …………………………………………
Pengerusi Setiausaha

Nama: Mohamad Azizi Nama: Mohamed Mazlan Morli